20 January 2013

diari 2013 :: 2 bunuh diri di BESUT

 
 
 
 
Lelaki ditemui mati tergantung
MOHD TAHA YAACOB
14 Januari 2013

BESUT - Seorang bapa dikatakan mengarahkan anaknya yang berusia 9 dan 12 tahun masuk ke dalam bilik sebelum dia ditemui mati tergantung di palang bumbung rumah di Kampung Cherang Meliling dekat Jertih di sini petang kelmarin.
 
Isteri mangsa berusia 32 tahun telah ternampak suaminya yang berusia 34 tahun itu tergantung di depan pintu bilik air di tingkat atas sebuah kedai roti di situ kira-kira 1.30 petang. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai roti sebelum itu berada seorang diri di ruang tamu manakala isterinya terlena di dalam bilik.
 
Menurutnya, mangsa yang dikatakan bertindak demikian kerana mengalami masalah kemurungan dan masalah mental. “Ketika polis tiba di tempat kejadian mendapati isteri mangsa dengan bantuan jiran telah membawa suaminya ke hospital dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya kepada media.
 
Kamaruddin berkata, hasil bedah siasat oleh pakar perubatan mendapati mangsa mati akibat menggantung diri dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut kerana tidak ada sebarang unsur jenayah.
 
 
Remaja ditemui mati tergantung
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Januari 2013
 
BESUT - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di rumah keluarganya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut di sini semalam, kerana dikatakan tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya berikutan pembabitannya dalam penagihan dadah.
 
Perkara itu diketahui selepas ahli keluarganya membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disimpan mangsa dalam telefon bimbitnya selepas kejadian. Kejadian itu disedari bapa mangsa yang berusia 46 tahun ketika bangun dari tidur untuk ke tandas kira-kira jam 4 pagi.
 
Difahamkan bapanya melihat mangsa sedang tergantung berhampiran bilik air lalu dibantu abang mangsa membuka simpulan tali dan menurunkannya. Bapa mangsa kemudian memaklumkan kepada polis dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.
 
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian dan memberitahu hasil bedah siasat mendapati tulang tengkuk mangsa patah akibat jerutan tali pada leher dan tiada kesan kecederaan lain.
 
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang lelaki pembantu kedai roti berusia 34 tahun yang dalam kemurungan juga ditemui mati tergantung di rumahnya di Kampung Cherang Meliling, Hulu Besut kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian kedua ini.
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...