14 May 2013

Diam ibadat yang paling hebat







Sesetengah orang petah bercakap seolah-olah semua diketahuinya. Seringkali disebabkan banyak bercakap, bercampur antara kebenaran dan kepalsuan. Orang terbabit memang kelihatan hebat, namun kadangkala membuatkan si pendengar berkecil hati.
 
Bagi sebilangan yang lain, mereka lebih suka mendiamkan diri dan bersuara apabila berasakan ada keperluan, misalnya untuk memperbetulkan kekeliruan dan menegakkan kebenaran. Mereka sangat berhati-hati apabila bercakap.
 
Golongan kedua ini nampaknya lebih baik. Sikap diam mereka lebih mulia daripada berkata-kata dengan suatu yang tidak berfaedah, lebih-lebih lagi mencarut, mengumpat, membuat tuduhan tanpa usul periksa, mencela, menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.
 
Mengenai keutamaan diam, Nabi SAW ada bersabda maksudnya: “Solat itu tiang agama, sedang sikap diam itu lebih utama. “Sedekah itu dapat memadamkan murka Tuhan, sedang diam lebih utama. Puasa itu benteng neraka, sedang diam itu lebih utama. Jihad itu adalah puncak agama, sedangkan diam itu lebih utama.” Dalam satu lagi hadis diriwayatkan ad-Dailami daripada Abu Hurairah, sabda baginda SAW, maksudnya: “Diam adalah ibadat tahap tertinggi.”
 
Menurut ulama, istilah diam dalam konteks hadis berkenaan ialah tidak mengucapkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat untuk agama dan dunia, juga tidak membantah orang yang menentang (kerana kejahilan).
 
Justeru, diam termasuk ibadat pada tahap tertinggi kerana kebanyakan kesalahan itu timbul daripada lisan. Namun, bagi orang yang hidup seorang diri, diamnya tidak termasuk ibadat. Memandangkan diam itu lebih mulia, ia menjadi perhiasan peribadi bagi orang yang berilmu. Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Diam itu hiasan bagi orang alim dan penutup (tabir) bagi orang bodoh.” Benar, sikap diam akan menambah kewibawaan orang berilmu, malah hal itu sebagai petanda adanya ilmu bagi orang terbabit. Orang bodoh pula tidak akan diketahui kebodohannya, jika dia tidak bercakap.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...